Meniti Kebenaran : Satu Tatapan (Siri 1)

Monday, October 19, 2009



GERAKAN ISLAM
Apakah yang dimaksudkan dengan Gerakan Islam atau Harakah Islamiah ?

Sebelum itu kita cuba memahami dulu maksud perkataan jamaah. Menurut Hadith yang masyhur tiga orang yang bermusafir hendaklah melantik seorang amir atau ketua dari kalangan mereka. Dalam perkataan lain tiga (atau lebih) orang yang sedang bermusafir dikehendaki menubuhkan sebuah jamaah. Bagaimanapun jamaah ini bersifat sementara sebab sekembalinya musafirin tersebut ke tempat asal mereka jamaah pun dibubarkan.

Berdasarkan kepada pengertian ini setiap pertubuhan atau organisasi, sama ada berdaftar dengan Pejabat Pendaftaran atau tidak, adalah sebuah jamaah. Harakah (Gerakan) bolehlah ditakrifkan sebagai sebuah jamaah yang bergerak/bergiat/berjuang bagi mencapai matlamat yang lebih besar seperti menegakkan ideologi dan cara hidup dengan melibatkan massa atau orang ramai. Oleh itu satu golongan massa yang berjuang bagi menegakkan demokrasi contohnya adalah satu gerakan atau harakah, dan dipanggil Gerakan Demokrasi atau Harakah Demokrasi. Begitu juga dengan Gerakan Nasionalisme bagi menegakkan ideologi dan cara hidup yang berlandaskan perkauman, dan Gerakan Komunis bagi menegakkan sistem komunis, dan sebagainya.

Apa yang dinamakan Harakah Islamiah atau Gerakan Islam merupakan satu jamaah yang berjihad bagi menegakkan sistem hidup Islam (Nizomul Hayatul Islami). Tergolong dalam takrif ini termasuklah jamaah-jamaah Tabligh, Al-Arqam, ABIM, IRC dan PAS.

Harakah Islamiah Syumuliah pula adalah sebuah jamaah yang bermatlamat menegakkan Sistem Hidup Islam yang lengkap (komprehensif), lengkap dari segi keahlian (ulamak, intelek, profesional, petani, buruh, nelayan, dsb.) dan juzuk-juzuk kehidupan (siasah/politik, ekonomi, perundangan (syariat), ketenteraan, dakwah/tabligh, pendidikan (tarbiyah), dsb.) Oleh kerana kesemua ini hanya boleh dilaksanakan dengan tertegaknya sebuah Negara Islam atau Daulah Islamiah, keutamaan perjuangan diberikan kepada jihad dalam bidang siasah, dakwah dan tarbiyah, di samping tidak mengabaikan bidang-bidang lain. Matlamat perjuangan adalah untuk mengembalikan kekuasaan kepada orang-orang mukmin yang bertaqwa dan menyambung semula Khalifah Rashidah.

Di negara kita Harakah Islamiah terbesar dan paling berpengaruh yang menepati takrif ini hanyalah PAS. Di negara-negara lain harakah-harakah yang setanding adalah Ikhwanul Muslimin di Meslr, Jamaatul Islami di Pakistan, Partisi Refah di Turki. Kesemua jamaah ini terlibat di dalam pilihanraya bagi menegakkan Negara Islam, sungguhpun pilihanraya diyakini bukan jalan tunggal untuk mencapai matlamat. Di negara-negara lain yang tidak membenarkan Ummah Muslimin mengambil bahagian di dalam pilihanraya, ataupun negara berkenaan tiada pilihanraya, perjuangan mengambil bentuk jihad bersenjata dan/atau jihad bawah tanah. Contoh jihad bersenjata termasuklah Mujahidin Afghanistan, Mujahidin Patani, Mujahidin Eriteria dan Mujahidin Moro. Contoh jihad bawah tanah ialah Mujahidin di negara-negara komunis, Iraq dan Syria.

Apabila sahaja Negara Islam dapat ditegakkan Harakah Islamiah tidak lagi berfungsi seperti sebelumnya, dan sistem pemerintahan kini berpandu kepada pemerintahan Rasulullah (saw) dan Khalifah-Khalifah Rashidah, khasnya Khalifah Abu Bakr AlSiddiq, Omar Ibnul Khattab, Osman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan Omar bin Abdulaziz, semoga Allah meredhai kesemuanya.

GERAKAN ISLAM DI UNITED KINGDOM

Kita mulakan pembicaraan dengan melihat kepada Gerakan Islam di United Kingdom.

Usaha dakwah di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di United Kingdom sebenarnya bermula di Tanah Air sendtri iaitu di Institut Teknologi Kebangsaan (kini dinaikkan taraf kepada Universiti Teknologi Malaysia), sekitar hujung tahun 60'an dan awal 70'an. Sekumpulan pelajar, kebanyakannya pelajar-pelajar kejuruteraan, telah dilatih dan ditarbiyah (dididik) oleh seorang pensyarah pinjaman dari Institut Teknologi Bandung bernama Pak Imaduddin Abdul Rahim untuk menjadi kader-kader dakwah.

Pada awal tahun 70'an perjuangan Islam di Malaysia didukungi oleh dua kumpulan (jamaah/harakah) terbesar: Parti Islam Se Malaysia, PAS (wadah berpenekanan politik) dan Angkatan Belia Islam Malaysia, ABIM (wadah belia dan non-partisan). Bagaimanapun, hubungan antara keduanya adalah erat bak kata pepatah seperti isi dengan kuku, tiap satu memainkan peranan yang saling menguatkan perjuangan Islam (complimentary roles). Kader-kader dakwah ini merasa diri masing-masing berintima' (bersama-sama) dengan ABIM dan PAS sekaligus. Oleh kerana medan perjuangan ABIM adalah di kalangan belia, usaha dakwah di kalangan pelajar dan siswa/i pada masa itu mempunyai hubungan hampir langsung dengan ABIM.

MELANJUTKAN PELAJARAN

Di awal tahun 70'an juga, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan polisi menghantar seberapa ramai yang mungkin pelajar-pelajar Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di United Kingdom. Di antara yang merebut peluang ini termasuklah sebilangan besar kader-kader tersebut. Menerusi program ini mereka dapat mendaftarkan diri di berbagai-bagai universiti dan politeknik di United Kingdom (U.K.). Walaupun demikian, sebahagian besar daripada mereka bertumpu di kawasan Brighton (Selatan U.K.) dan Glasgow (Selatan Scotland). Semasa di U.K. pelajar-pelajar ini berpeluang meneruskan perjuangan Islam disebabkan di sana sudahpun wujud dua kumpulan dakwah besar tiap satu mempunyai hubungan dengan jamaah induk masing-masing di India dan Pakistan. Kumpulan-kumpulan ini adalah Jamaah Tabligh dan United Kingdom Islamic Mission, [cawangan Jamaatul Islami (Maududi), Pakistan].

PERPECAHAN

Pertemuan ini telah memberi pengalaman baru kepada kader-kader tersebut tetapi ada padahnya. Kumpulan yang sebelum itu merupakan satu ikatan yang padu dari segi fikrah dan tanzim telah terbelah dua - satu mengikut stail tabligh sementara satu lagi mengikut stail Jamaatul Islami yang juga menjadi manhaj harakah-harakah lain saperti PAS, ABIM dan Ikhwanul Muslimin, Mesir. Sudah menjadi resam perpecahan maka berlakulah tidak bertegur sapa, bermasam muka dan perbalahan antara kedua kumpulan tersebut di khalayak ramai. Perbalahan itu contohnya berlaku selepas solat Jumaat di mana pengikut Tabligh akan meminta orang ramai supaya tunggu untuk mendengar bayan (ceramah) dan ini ditentang oleh kumpulan satu lagi yang menganggap tindakan itu tidak syari' kerana seolah-olah menghalang orang ramai daripada pulang ke rumah masing-masing setelah selesai solat Jumaat.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP