Meniti Kebenaran : Satu Tatapan (Siri 3)

Friday, October 30, 2009




STRATEGI BARU 
Keadaan kebuntuan tersebut telah menyebabkan IRC merubah strateginya sekitar tahun 1982. Maka disusunlah satu strategi atau "grand design" terhadap ABIM dan PAS, lalu diperkenalkan konsep Harakah Islamiah Syumuliah, HIS [Takrif HIS IRC adalah tidak sama dengan HIS yang diterangkan sebelumnyaj. Dalam rangkakerja HIS IRC, ABIM dan PAS hendak dijadikan "wajah-wajah" jamaah (wujuuhul jamaah) IRC semata-mata. Dalam istilah politik moden, strategi ini akan menjadikan ABIM dan PAS sebagai gerakan-gerakan depan (front organisations) semata-mata dan kepimpinan ABIM dan PAS sebagai boneka-boneka (maaf kasar sedikit di sini) yang hanya boleh bertindak menurut arahan kepimpinan IRC. Oleh itu kekuasaan sebenar berada dalam tangan amir IRC bukan amir ABIM atau PAS.

Menurut strategi ini orang-orang tertentu IRC yang mampu mendapat pengaruh akan dihantar bertugas hampir sepenuh masa di dalam PAS dan ABIM. Mereka akan memainkan peranan untuk mewujudkan satu suasana jamaah-dalam-jamaah di mana jamaah baru ini akan terdiri daripada mereka yang memiliki fikrah IRC dan berwalak kepada IRC. Kumpulan ini akan memainkan peranan bagi melaksanakan strategi HIS untuk IRC. Paling kurang hasil yang diharapkan dari kumpulan ini ialah mereka akan bersikap lembut terhadap IRC.

Menerusi strategi baru ini IRC telah dapat meyakinkan kepimpinan PAS tentang niat ikhlas (?) mereka untuk bersama membantu PAS khasnya dalam program-program tarbiyah. Lujnah tarbiyah PAS pusat telah menjemput dua orang ahli majlis syura IRC untuk bersama-sama dalam lujnah tersebut. Serentak dengan itu hampir keseluruhan program tarbiyah PAS, termasuk di institusi-institusi pengajian tinggi, diserahkan kepada ahli-ahli IRC untuk dikendalikan. 

HARAP PAGAR PAGAR MAKAN PADI 
Malangnya IRC telah mengingkari janjinya dan bertindak bak kata pepatah "harap pagar pagar makan padi". Tujuan sebenar mereka menyertai PAS mulai terbongkar. IRC bukan sekadar mengendali program tarbiyah PAS tetapi juga dikumpulkannya secara rahsia ahli-ahli PAS yang berpotensi (yang bakal menjadi pemimpin) dan mereka dibawa keluar daripada PAS untuk menyertai jamaah sulit mereka IRC. Lunas-lunas akhlak Islam telah tidak diikuti oleh kepimpinan IRC. Apabila tembelang IRC diketahui oleh pucuk pimpinan PAS mereka telah diberi kata-dua dan diminta supaya membuat pilihan, iaitu sama ada kekal di dalam PAS dengan meninggalkan IRC ataupun berhenti terus daripada mengkhianati PAS. Sungguhpun begitu sebagai mematuhi syariat berjamaah tiada seorang pun ahli IRC dipecat daripada jamaah PAS. Lanjutan daripada itu program-program dakwah yang ada kaitan dengan PAS khasnya di pusat-pusat pengajian tinggi berpecah kepada dua: satu kumpulan yang jauh lebih ramai kekal bersama PAS sementara yang satu lagi menyertai IRC.

Tindakan IRC selanjutnya jelas menunjukkan strateginya terhadap PAS masih diteruskan sebab meskipun sebahagian besar ahli IRC telah berundur daripada PAS masih ada beberapa individu yang berpangaruh kekal di dalam PAS. Kehadiran mereka bukan disebabkan mereka telah mufaraqah (istihar keluar) daripada IRC tetapi atas arahan kepimpinan IRC sendiri - mereka tidak pernah mengistiharkan diri mereka keluar daripada IRC, malah hubungan mereka dalam bentuk usrah-usrah sulit (rahsia) masih diteruskan.

Perlu ditekankan di sini semasa kepimpinan IRC berulang-ulang menemui kepimpinan PAS (sebelum perpecahan berlaku) mereka telah mengisyhtiharkan bahawa IRC tidak wujud di Malaysia, yang ada hanya bekas ahli-ahli IRC. Oleh sebab itu kepimpinan PAS tidak menimbulkan soalan siapakah amir mereka atau siapakah ahli-ahli majlis syura mereka. Malah sebahagian besar pengikut-pengikut IRC sendiri termasuk dari kalangan siswa/siswi tidak diberi maklumat tepat atau tidak diberitahu langsung tentang siapakah barisan kepimpinan jamaah yang mereka sedang ikuti. Sebenarnya IRC mengamalkan sistem pengkelasan dalam keahliannya. Daripada empat peringkat hanya peringkat tertinggi diberi hak mengetahui dengan tepat struktur dan kepimpinan jamaah. 

PERJUANGAN DI LUAR MALAYSIA 
Sekarang kita kembali kepada masalah dakwah di kalangan pelajar. Semasa PAS mempercayai IRC telah bersatu dengannya tiada usaha dijalankan di luar negeri, sama ada di United Kingdom, Amerika Syarikat atau Timur Tengah untuk menubuhkan cawangannya di sana sebab peranan ini dimainkan oleh IRC di U.K. dan MISG (dikuasai oleh IRC setelah dirampas dari ABIM yang menubuhkannya) di Amerika. Akan tetapi, dalam keadaan sekarang adalah mustahil PAS dapat mengharapkan mereka yang menerima tarbiyah IRC di luar negeri pulang untuk menyertai PAS. Alhamdulillah, kepimpinan PAS sedang mengambil langkah-langkah tertentu supaya pelajar-pelajar di seberang laut dapat menyertai perjuangan PAS, insyaAllah. Oleh itu sekarang sudah wujud sayap-sayap PAS (secara tidak resmi) dl luar negeri termasuklah di U.K., USA dan Timur Tengah.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP