Meniti Kebenaran : Satu Tatapan (Siri 2)

Wednesday, October 28, 2009

                          
PENUBUHAN IRC
Lanjutan daripada itu timbullah kesedaran di kalangan beberapa orang daripada kader-kader untuk berusaha supaya kedua-kedua kumpulan bercantum semula. Usaha ini mengambil bentuk satu wadah atau platform yaNg dikenali sebagai Islamic Representative Council (IRC). Tepat dengan namanya, objektif utama IRC adalah untuk menjemput wakil-wakil daripada dua kumpulan tadi dan juga mereka yang mirip kepada Islam tetapi tidak menyertai mana-mana kumpulan untuk bersama-sama dalam satu majlis yang akan berusaha menyatupadukan semula pelajar-pelajar Islam. Maka diwujudkanlah usrah-usrah yang dianggotai oleh wakil-wakil tersebut.
Malangnya usaha yang murni itu gagal mencapai objektifnya - yang tabligh tetap tabligh, yang mirip kepada nasionalisme tetap dengan pegangannya sementara bakinya merubah corak IRC daripada satu platform semata-mata menjadi satu jamaah yang memiliki amir serta majlis syura dan tanzimnya sendiri. Bagaimanapun, IRC telah memilih jalan untuk menyembunyikan barisan kepimpinannya daripada pengetahuan dan penilaian ummah. Yang dapat dilihat oleh orang ramai hanyalah program-program dakwah dan rehlah. Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 1975/1976.
SUARA AL-ISLAM
Belum sempat IRC merasai ketenangan, kepimpinannya mula bergolak. Beberapa orang kepimpinan telah keluar daripada IRC dan menubuhkan jamaah baru yang diberi nama Suara Al-Islam. Perbezaan antara keduanya hanyalah pada cara perjuangan hendak diteruskan. IRC ingin cara yang berteraskan tarbiyah sementara Suara Al-Islam memilih cara radikal dan revolusioner yakni dengan menimbulkan isu-isu penting dan asas di tengah-tengah masyarakat dan dengan itu program tarbiyah tidak menjadi isu utama. Bagi mereka tarbiyah adalah pertembungan langsung dengan kuasa-kuasa toghut di dalam masyarakat.
Bagaimanapun, beberapa tahun selepas itu kepimpinan serta ahli-ahli Suara Al-Islam memilih jalan yang wajar dan menepati syara' untuk menyertai PAS sekembali mereka ke Malaysia. PAS memiliki ciri-ciri yang lebih lengkap yang merangkumi ciri-ciri perjuangan IRC dan Suara Al-Islam. Lagipun PAS merupakan harakah/jamaah tertua yang ditubuhkan oleh ummah Muslimin di Malaysia untuk berjuang bagi menegakkan Daulah Islamiah di negeri ini.
Satu babak penting dalam asam garam perjuangan Islam di Malaysia berlaku sekitar tahun 1976/77, iaitu apabila beberapa orang pemimpin dan ahli IRC kembali ke Tanah Air. Mereka bukan sahaja tidak mahu menyertai jamaah yang sedia ada iaitu ABIM-PAS, tetapi sudah mula mengkritik daripada luar kepimpinan perjuangan Islam masa itu. Kalau objektif asal IRC ditubuhkan adalah untuk menyatupadukan kumpulan-kumpulan yang berpecah di U.K., kini IRC (secara disedari ataupun tidak disedari ?) memainkan peranan sebaliknya iaitu untuk memecah dan melemahkan barisan perjuangan ummah yang telah bersatupadu seperti yang dituntut oleh Allah s.w.t. dalam surah As-Saff, ayat 4 :
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh."
JAMAAH BARU DI MALAYSIA
IRC telah memilih jalan yang sangat-sangat ditegah oleh Allah dan Rasulnya iaitu menubuhkan jamaah baru di Malaysia sungguhpun sudah wujud jamaah Islam. Allah (s.w.t.) telah melarang tindakan ini secara keras dan jelas di dalam Kitab Suci AlQuran:
"Dan berpegang teguhlah kepada tali (agama) Allah, dan jangan kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara." (Surah Ali Imran, Ayat 103)
"Sesungguhnya orang-orang yang memecah belahkan agamanya dan mereka menjadi bergolongan, tidak ada sedikitpun tangggungjawabmu terhadap mereka (mereka bukan daripada kamu - tafsir)." (Surah AlAn'am, Ayat 159)
Di samping itu terdapat juga banyak hadith Rasulullah (s.a.w.) yang melarang ummah daripada berpecah atau membuat jamaah baru: Sabda Baginda yang bermaksud "Hendaklah kamu bersama-sama Jamaah Muslimin dan pimpinan mereka." Lagi sabda Baginda yang bermaksud, "Berjamaah itu rahmat dan berpecah belah itu azab."
Pada masa yang sama kepimpinan ABIM dan IRC mengadakan rundingan bagi mencari jalan persefahaman demi untuk kebaikan perjuangan Islam. Maka satu persefahaman tidak resmi, atau tidak bertulis telah dicapai, iaitu ABIM tidak akan mengembangkan sayapnya ke United Kingdom dan sebagai balasan ahli-ahli dan kepimpinan IRC akan menyertai ABIM sekembalinya mereka ke Malaysia.
Sungguhpun ABIM telah menepati janjinya, sebahagian besar kepimpinan dan ahli IRC yang pulang ke Tanah Air tetap bertegas tidak mahu menyertai ABIM. Di antara tuduhan terhadap ABIM termasuklah matlamat perjuangan ABIM tidak jelas, tiada tarbiyah dll, meskipun aspek-aspek ini dapat diperbaiki dengan pernyertaan mereka ke dalam ABIM (jika benar IRC mempunyai matlamat yang jelas dan ada tarbiyah!). Lagipun tuduhan-tuduhan itu bukanlah hujjah-hujjah syara' dan boleh dipertikai. Anihnya, ABIM yang memiliki beberapa lulusan Al-Azhar dari kalangan kepimpinannya, malah ada yang mendapat tarbiyah Ikhwanul Muslimun, diragui tentang kejelasan perjuangan mereka oleh kumpulan yang rata-rata berpendidikan bukan-agama, yang mempelajari Islam selama sejam atau dua jam seminggu sahaja !?
IRC mulai bergiat di Malaysia khasnya di kalangan pelajar-pelajar dan kakitangan-kakitangan akademik universiti. Seperti yang dijangkakan, berlakulah peristiwa-peristiwa pijak memijak kaki satu sama lain dengan ABIM. Kepimpinan pelajar yang mempunyai hubungan langsung dengan ABIM cuba diambil alih oleh IRC. Akibatnya ABIM tidak ada pilihan lain kecuali mengembangkan sayapnya ke United Kingdom sebab ABIM menghadapi keadaan buntu di mana keahliannya dari kalangan lulusan United Kingdom semakin merosot. Maka ditubuhkanlah ABIM-U.K. sekitar awal 80'an.
PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA BERPECAH LAGI
Dengan tertubuhnya ABIM-U.K. perpecahan di kalangan pelajar-pelajar Malaysia menjadi lebih buruk. Kini pelajar-pelajar Malaysia di Britain berpecah kepada empat kvunpulan besar - Tabligh, IRC, Suara Al-Islam dan ABIM di samping wadah nasionalist UMNO-U.K.
Berlakulah kepada pejuang-pejuang Islam di rantau orang apa yang tidak berlaku kepada penjajah British sendiri semasa mereka di negeri kita, iaitu perebutan kuasa sesama sendiri bagi mencari pengaruh. Masing-masing menyediakan strategi bagi merampas pertubuhan-pertubuhan pelajar seperti "Islamic Society" dan "Malaysian Student Society" di hampir setiap institusi di mana terdapat pertubuhan-pertubuhan seperti itu. Contohnya, apabila diadakan Mesyuarat Agong Tahunan sesebuah pertubuhan maka ahli-ahli akan mengambil tempat masing-masing di dalam dewan mesyuarat - sebelah dewan diduduki oleh ahli-ahli IRC sementara sebelah lagi oleh ahli-ahli ABIM.
Berlakulah tikam lidah antara kedua-dua puak masing-masing cuba menegakkan kepentingan puaknya. Begitu juga dengan tempat penginapan. Satu tempat didiami oleh orang-orang IRC dan orang-orang ABIM pula mencari tempat lain. Apabila diadakan kenduri maka ahli-ahli kumpulan sahaja dijemput. Panduan perkahwinan seperti yang diajar oleh Rasulullah (s.a.w.) diubah daripada empat perkara (ugama, keturunan, kecantikan dan kekayaan) kepada lima dengan ditambah satu lagi syarat, iaitu bakal suami/isteri hendaklah menjadi ahli jamaah yang sama.
Jika direnung dengan tajam maka terasalah sedih dan malu terhadap apa yang berlaku. Islam adalah Ugama Suci, Ugama Benar, Ugama Tunggal Diridhai Allah tetapi malangnya "seolah-olah" ugama ini tidak mampu menyatupadukan satu kelompok umatnya yang kecil yang rata-rata terdiri daripada orang-orang yang boleh berfikir sendiri tanpa dipengaruhi oleh mereka yang berkepentingan. Yang sedihnya ini berlaku di rantau orang dan di negeri orang kafir pula. Sepatutnya orang-orang mukmin menunjukkan akhlak yang tinggi kepada orang-orang kafir sebagai contoh dan uswah hasanah supaya hati mereka dapat dijinakkan kepada Islam. Konsep ukhwah atau persaudaraan dalam Islam telah menjadi kabor, daripada menjadi sesuatu yang memisahkan antara iman dan kufur kepada sesuatu yang memisahkan satu jamaah Islam daripada jamaah Islam lain. Sebenarnya, Allah (swt) telah menganugerahkan kepada kita konsep ukhwah yang betul, iaitu seperti firmanNya:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah bersaudara ... " (Surah Al-Hujurat, Ayat 10)
bukannya "Sesungguhnya orang-orang IRC sahaja bersaudara" atau "Sesungguhnya orang-orang ABIM sahaja bersaudara," atau sebagainya. Oleh itu berilah hak persaudaraan kepada setiap individu yang mengaku ia beriman kepada Allah dan Rasulnya. Allah (s.w.t.) telah menyatukan hati-hati orang-orang beriman dan menghapuskan permusuhan sesama mereka maka siapakah anda, dengan membuat jamaah baru, tergamak meletakkan hijab dan tembok antara individu-individu mujahid mukmin - yang satu mengikut anda sementara yang satu lagi mengikut jamaah yang sedia wujud ?
ABIM BERGOLAK
Satu lagi peristiwa penting yang menggemparkan keutuhan perjuangan Islam di Malaysia berlaku pada tahun 1982 apabila Saudara Anuar Ibrahim, iaitu Presiden ABIM mengisytiharkan dirinya menyertai parti asobiyah, iaitu UMNO. Akibatnya ABIM terpecah dua - satu kumpulan menyokong tindakan Sdr. Anuar dan yang satu lagi menentang. Mereka yang menentang kebanyakannya mengambil tindakan keluar daripada ABIM lalu menyertai PAS. Maka ramailah pejuang-pejuang Islam termasuk dari kalangan pelajar berduyun-duyun mula menyertai PAS yang dipimpin oleh satu barisan kepimpinan baru yang dinamik, berani dan berwibawa.
IRC BUNTU
IRC di Malaysia pada masa itu menghadapi keadaan yang sangat buntu di mana mereka yang inginkan Islam memberi thiqah dan walak kepada kepimpinen PAS sementara kepimpinan IRC masih "bersembunyi", tidak mengistiharkan siapa mereka. Oleh itu ummah tidak dapat menilai sejauh mana kepimpinannya berwibawa, apakah mereka itu berani berdepan dengan toghut ataupun tidak, ataupun mereka hanya berani menghentam toghut di dalam usrah dan tamrin tertutup saja yang dihadiri oleh orang-orang terpilih, apakah mereka benar-benar memiliki akhlak yang tinggi ataupun akhlak dan jamaah mereka lebih kepada indah khabar dari rupa. Apakah amir IRC seorang ulamak atau jurutera sahaja. Tahukah dia tentang selok belok ugama khasnya hukum-hukum feqah yang sememangnya menjadi pra-syarat kelayakan seseorang pemimpin Harakah Islamiah. Persoalan ini menjadi tandatanya kepada ummah supaya amir IRC dapat dipertanggungjawabkan di khalayak ramai terhadap setiap tindakan yang diputuskannya, sama ada sesuatu tindakan itu menepati syara' atau tidak.
Sebaliknya barisan kepimpinan PAS kebanyakannya adalah dari kalangan ulamak yang berwibawa,bukan sahaja bijak dan berani menjelaskan isu-isu ultra-sensitif seperti isu kemurtadan, kristiani-sasi dan hak-hak istimewa orang Melayu tetapi juga berani dikenakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) malah ada yang telah syahid di jalan Allah, contohnya Almarhum Ustaz Ibrahim Mahmud bersama 13 orang sahabat di Memali (semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh-roh Syuhada' Memali). (bersambung...)




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP